Tuesday, 1 May 2018



 ANALISIS FILEM DAN POSTER (JENGKA)  




    SINOPSIS FILEM JENGKA
Filem ini berkonsepkan ‘paranormal’ menceritakan Nini yang saraf mengandung  memintanya suaminya, Basir menghantar dia pulang kekampungnya di Jengka, Pahang untuk melahirkan anak. Basir hanya mengikutkan saja kehendak isterinya dengan alasan dia pun sibuk dengan urusan kerja dan tidak boleh menemani Nini. Kepulangan Nini dikampung diraikan keluarganya dengan mengadakan kenduri doa selamat sempena menyambut kelahiran bayi yang dikandung Nini. Bagaimanapun, mak bidan yang dijemput datang kemajlis itu menasihatkan Nini supaya tidak dibebankan dengan tekanan perasaan ini kerana Nini akan diganggu dengan semangat yang tidak baik. Malangnya pada majlis kenduri itu kecurangan Basir diketahui Nini dan, Nini mengambil keputusan untuk lari daripada rumah dari situ bermulanya satu kisam seram yang berlaku.
     

 BAHASA

Filem bertajuk Jengka merupakan terbitan oleh pengarah terkenal Aziz M. Osman serta diarahkan oleh Nyon Othman dan Ramdan Che Hassan. Filem Jengka ini sebuah filem seram yang mengisahkan tentang penunggu di sebuah kawasan kelapa sawit. Kisah tersebut bermula ketika Nina dan Basir bersengketa pada malam majlis doa selamat kerana Nina telah mendapat tahu bahawa Basir curang dengan perempuan bernama Miera. Nina yang sedang mengandung tertekan dengan sikap Basir yang tidak berubah dan berkali-kali menipu Nina. Nina lari ke dalam ladang kelapa sawit. Setelah itu, penunggu ladang tersebut telah mengambil anak Nina lalu dibawa lari. Nina dirasuk teruk. Akhirnya Basir mati dimakan penunggu kerana percakapannya yang besar. Nina dan anaknya selamat.
            Bahasa yang digunakan pada tajuk besar poster iaitu ‘JENGKA’ sangat feminin dengan cerita yang digarapnya. Jengka merupakan sebuah nama daerah di negeri Pahang. Kawasan Jengka tersebut merupakan tempat penuh dengan ladang kelapa sawit. Ia lebih dikenali sebagai FELDA Jengka. Tajuk filem tersebut sudah membuatkan penonton lebih faham akan cerita yang ingin disampaikan dengan menggunakan nama tempat. Perkataan ‘penunggu’ juga diselitkan di atas tajuk Jengka tersebut. Berdasarkan kepercayaan masyarakat Melayu setiap tempat seperti di kawasan hutan mempunyai penunggu yang sentiasa mengawasi kawasan tertentu. Perkataan penunggu tersebut sudah memberi titik permulaan tanggapan penonton kepada cerita tersebut biarpun ia hanya tulisan kecil.
            Bahasa dalam filem tersebut lebih kepada Bahasa Melayu. Dialek Pahang kurang digunakan dalam filem tersebut. Pendekatan bahasa Melayu mudah membuatkan penonton faham perkara yang ingin disampaikan, namun bahasa kamera sangat mendominasi dalam filem tersebut. Hal ini demikian kerana, pengarah mengambil pendekatan perkara yang sebenar berlaku di dalam kejadian tersebut, ia seperti lakonan semula. Selain itu, bahasa dari ayat suci al-Quran turut digunakan, bagi menggambarkan filem tersebut mempunyai unsur-unsur budaya Melayu Islam yang mengamalkan perubatan rukyah tradisional kampung.
            Teks tersebut menggunakan font yang mudah dibaca dan ringkas, perkataan JENGKA lebih mendominasi dari perkataan yang lain. Hal ini demikian kerana, penonton terlebih dahulu melihat tajuk filem berbanding teks lain. Poster tersebut tidak terlalu sarat dengan pelbagai jenis font. Tulisan disusun seimbang dari segi simetri dengan setiap perkataan seperti “JEN” dan “GKA” ditimbulkan. Pada bahagian bawah poster susunan nama-nama penerbit, pelakon, pengarah, diletakkan mengikut turutan.
            Angka yang diletakkan di dalam poster menggunakan font berlainan dari teks di atas. Ia dilihat lebih mendominasi berbanding teks lain walaupun berada di bahagian bawah. Reka letak angka tersebut sangat sesuai dengan penggunaan font yang tidak seimbang iaitu tinggi dan rendah tetapi saiznya tetap sama. Penonton lebih tertumpu pada tajuk filem dan tarikh tayangan kerana kedua-duanya sangat mendominasi poster filem tersebut.


1    WATAK PERWATAKAN

Watak merupakan pelaku yang mendukung dan menghidupkan sesebuah cerita. Watak boleh sahaja terdiri daripada manusia atau bukan manusia seperti binatang atau benda.
Perwatakan pula merujuk kepada gambaran dan sifat yang dimiliki oleh watak. Gambaran dan sifat-sifat ini boleh dilihat daripada aksi atau dialog yang digarap oleh pengarang. Watak dan perwatakan yang ada dalam filem Jengka ini ialah watak Basir, Nini yang merupakan watak utama, manakala Mak Fida, Along, Aqish, Nyon dan Ustaz Mizi merupakan watak sampingan.
Watak Basir merupakan seorang ahli perniagaan yang mempunyai syarikat sendiri, seorang yang bergaya dan kaya. Basir juga telah bersikap curang terhadap isterinya iaitu Nini dengan mengadakan hubungan sulit dengan bekas kekasihnya Mira sehingga Mira mengandung anak hasil kecurangan Basir. Basir juga merupakan seorang yang bongkak dan takbur tatkala mencabar penunggu ladang tersebut dan menyebabkan Basir telah mati dibaham oleh penunggu.
Watak Nini seorang wanita yang mengandung, di mana Nini merupakan isteri kepada Basir, Nini juga merupakan anak kedua dalam keluarganya. Nini juga seorang yang penyabar di mana Nini telah bersabar dengan sikap suaminya yang telah curang di belakangnya tapi masih lagi sedia memaafkan Basir. Nini juga seorang yang lemah semangat sehingga dirinya mudah di rasuk oleh makhluk-makhluk halus yang mana telah menyebabkan dia melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit dan juga turut melahirkan anak di dalam ladang itu.
Watak Along pula berumur dalam lingkunan lewat 40-an dan belum berkahwin. Along ini merupakan abang kepada Nini dan Aqish. Dia bekerja sebagai petani sahaja yang mana kerjanya hanya di ladang menguruskan kelapa sawit. Along juga merupakan ketua keluarga dalam keluarganya di mana Along yang mewalikan pernikahan Nini dan Basir. Along juga merupakan seorang yang sabar dan tidak mudah putus asa dimana ianya dapat dilihat ketika Nini lari ke dalam ladang kelapa sawit, Along tetap berusaha mencari adiknya walaupun dalam keadaan gelap. Along juga merupakan seorang yang penyayang terhadap adik-adiknya, di mana dia begitu mengambil berat untuk mendengar masalah ketika Nini sedang bersedih setelah mengetahui bahawa Basir telah curang di belakangnya.
Watak Nyon pula merupakan kawan baik kepada Alon yang juga berumur lewat 40-an dan merupakan anak tok penghulu kampung. Nyon seorang yang berharta di mana dia bakal mewarisi tanah-tanah ladang milik ayahnya nanti. Nyon juga pernah menyimpan perasaan terhadap Nini dan seorang yang setia serta bertanggungajwab di mana dia telah menyatakan bahawa dia sanggup menjadi pengganti jika Nini dan Basir berpisah.
Watak Aqish pula merupakan watak sampingan. Aqish yang masih lagi bersekolah dan berumur belasan tahun merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik. Watak Mak Fida merupakan emak kepada Along, Nini, dan Aqish, merupakan seorang balu yang telah kematian suaminya. Dia bersikap teliti dan ambil berat akan keadaan anaknya dimana Mak Fida ini telah menyalahkan Basir yang merupakan punca kepada kejadian semua itu berlaku. Watak Ustaz pula merupakan seorang alim ulama yang telah menyelamatkan bayi Nini daripada diambil oleh penunggu jahat. Watak Mira merupakan bekas kekasih Basir yang masih lagi menjalinkan hubungan sulit dengan Basir.

2.      BUSANA DAN MAKE-UP

Busana dikenakan dalam filem tersebut lebih kepada pakaian tradisional orang-orang kampung di negeri Pahang. Pakaian tersebut seperti kain batik, baju kurung, tudung bawal, selendang, blaus, dan baju kelawar kebiasaan perempuan Melayu yang menggayakan baju tersebut. Manakala busana yang dikenakan bagi lelaki pula seperti songkok, kopiah, baju Melayu, jubah, t-shirt, topi, jeans, dan seluar slack. Ia melambangkan tradisi masyarakat yang tinggal di kawasan pinggir bandar. Namun di dalam poster tersebut tidak terdapat busana yang menunjukkan wajah hantu, ia hanya menggunakan simbol-simbol seperti tengkorak manusia dan pokok kelapa sawit. Kebanyakan busana diperlihatkan di dalam cerita.
Manakala dari segi make-up pula, kebanyakan pelakon tidak menggunakan make-up yang terlalu tebal, ia lebih kepada ‘natural beauty’ kecuali apabila ada bahagian ‘scene’ yang perlu kepada mekap yang tajam. Sebagai contoh, ketika Nini di rasuk dan bahagian ‘scene’ yang penampakan hantu di dalam ladang kelapa sawit. Make-up poster atau ‘shading’ yang digunakan pemilihan warnanya hitam lebih mendominasi berbanding warna cerah. Hal ini demikian, ia menunjukkan kejadian yang berlaku semuanya pada waktu malam. Warna coklat yang digunakan sangat suram dan menunjukkan bahawa pencahayaan kurang dan hanya tertumpu pada bahagian tengkorak sahaja.
Poster filem Jengka sangat berkesan dan berjaya. Ia membolehkan penonton membaca dan memahami apa yang ingin disampaikan kepada mereka. Poster tersebut sangat ringkas dan padat dengan maklumat yang ingin disampaikan. Bersesuaian dengan budaya Melayu yang mempunyai unsur semula jadi iaitu pokok kelapa sawit dan tengkorak manusia. Poster tersebut telah menunjukkan tempat dan masa yang berlaku. Kebanyakan di Malaysia kejadian-kejadian aneh ini akan berlaku ketika menjelang malam.


3.      PERALATAN

Antara peralatan yang digunakan dalam cerita ini adalah seperti lada hitam. Lada hitam yang dipakai adalah simbol kepada ubat orang dirasuk. Hal ini mengikut sedikit kepada kepercayaan para ustaz atau yang lebih memahami bahawa alatan dan benda bukan hidup sebegini mampu menghalau hantu atau sebarang makhluk ghaib yang telah memasuki badan secara rasukan supaya keluar dari badan manusia itu. Sama ada ianya mujarab atau tidak, tidak boleh dijamin kerana ianya merupakan ikhtiar dan cubaan sahaja bagi proses menghalau rasukan di dalam badan manusia.
            Selain itu, terdapat peralatan atau benda bukan hidup yang mendominasi cerita ini iaitu kamera. Kegunaan kamera yang dipakai oleh sebahagian besar para pelakon dalam filem ini adalah untuk bukti kepada segala detik hal yang berlaku sama ada ianya dalam dan luar rumah atau pada adegan dalam ladang kelapa sawit tersebut. Sebagai contoh, peralatan kamera ini pada akhir cerita telah membongkar detik ketika watak utama Basir yang berlagak berani mencabar penunggu ladang terbabit untuk bersemuka dengannya telah dibaham oleh penunggu tersebut.
            Peralatan lain yang digunakan ialah dalam majlis doa selamat pada malam hari di kampung halaman Nini. Pelbagai peralatan kenduri seperti dulang, besin, pinggan mangkuk yang digunakan adalah mesej kepada budaya masyarakat Melayu yang sentiasa bekerjasama dalam melakukan aktiviti gotong-royong seperti itu. Hal ini dapat memperkukuh dan menampakkan lagi suasana kekampungan itu sebagaimana yang berbeza dengan kehidupan di bandar tidak kira kepada lelaki dan perempuan.

4.      LATAR BELAKANG TEMPAT

Latar adalah tempat, suasana, ruang, dan waktu terjadinya cerita. Latar boleh bersifat nyata, benar, fakta dan juga melalui imaginasi. Fungsi latar adalah memperkuat dan memperteguh keyakinan pembaca terhadap sesuatu jalan cerita. Terdapat lata masa, latar tempat, dan latar masyarakat.
Latar masa yang terdapat dalam filem Jengka ini adalah pada sekitar tahun 2015. Terdapat juga beberapa latar masa yang digunakan oleh pengarah iaitu seperti penggambaran waktu pagi, petang, dan malam. Sebagai contoh, pada malam kenduri doa selamat, Nini telah terdengar perbualan di antara Basir dengan kekasihnya melalui telefon bimbit. Bahagia yang dijanjikan kini menjadi porak-peranda dan lebih mengharukan apabila Nini meroyan kerana terlalu kecewa dengan sikap suaminya telah lari ke dalam ladang kelapa sawit yang berpenunggu. Ketika pencarian dijalankan bagi mengesan Nini dalam hutan yang gelap itu, mereka telah menjumpai daging uri yang telah dimamah anjing dan menguatkan hati bahawa bayi yang telah lahir itu telah dilarikan anjing.
Seterusnya, dalam filem Jengka ini menerangkan latar tempat iaitu di kawasan luar bandar dan kawasan perkampungan atau Felda. Sebagai contoh segalanya bermula apabila Nini yang sedang sarat mengandung meminta suaminya, Basir menghantar dia pulang ke kampung halaman yang terletak di Jengka, Pahang untuk bersalin.

5.      SIMBOL DALAM POSTER

Poster yang ditonjolkan dari filem Aziz M. Osman ini adalah tampak ringkas sahaja. Hal ini kerana, hanya sebatang pokok kelapa sawit dan pada batang pokok itu diperlihatkan beberapa tengkorak manusia. Ianya merupakan simbol yang betul dan tepat memandangkan tajuk poster dan filem itu adalah JENGKA yang umum sedia mengetahui nama tempat itu adalah penuh dihiasi dengan ladang kelapa sawit.
Bagi tengkorak pula adalah simbol kepada bahaman beberapa orang yang telah mati dan menjadi mangsa kepada penunggu di ladang tersebut. Hal ini membuatkan penonton tertanya apa yang berlaku pada sebatang pokok kelapa sawit tersebut dan merasa seram apabila menonton cerita ini di mana keseluruhan bahagian seram dan penuh kejutan adalah di sebalik pokok-pokok kelapa sawit itu.
Keadaan sebatang pokok yang ditonjolkan dalam poster juga simbol kepada kepayahan dalam mencari orang yang hilang apabila melalui ladang tersebut. Hal ini demikian kerana, pokok tersebut yang tampak tua usianya serta berdaun lebat menyukarkan lagi proses pencarian Nini dan bayinya pada malam itu. Dominasi ruangan gelap pada sudut lain poster melambangkan kesinoniman cerita seram begini.

BANGUNAN

Filem ini mengambil konsep found footage yang diselang seli dengan lakonan semula seperti konsep Villa Nabila tetapi tidaklah mempunyai ciri-ciri docu dalam Villa Nabila. Pengarah baru Ramdan dan Nyon sebagai protege Aziz M. Osman tidak lepas dari mengikut trend filem seram terkini yang melanda Malaysia ketika ini. Dalam penghasilan filem Jengka ini unsur-unsur bangunan yang ditonjolkan dalam filem ini tidaklah begitu banyak akan tetapi terdapat beberapa bangunan yang telah dikenal pasti yang mana menunjukkan keadaan setiap insiden berlaku.
Pada permulaan unsur bangunan yang ditonjolkan adalah suasana di rumah banglo Basir dan Nini yang mana keadaan dimana mereka membuat perancangan untuk pulang ke kampung bagi membolehkan Nini melahirkan anak di kampung halaman bersama keluarganya. Selain itu, unsur bangunan lain yang ditonjolkan dalam filem Jengka ini adalah rumah kampung halaman Nini yang mana bermulanya segala insiden yang berlaku yang membuatkan unsur keseraman ditonjolkan pada bahagian ketika Basir dan Nini bertengkar selepas kenduri doa selamat pada malam itu. Segalanya terbongkar apabila Nini mendengar perbualan antara Basir dan kekasih gelap yang membuatkan Nini melarikan diri ke ladang kelapa sawit di belakang rumahnya dan bermula insiden yang menyeramkan yang membuatkan Nini diganggu oleh penunggu yang dipercayai penunggu ladang kelapa sawit tersebut.
Seterusnya, elemen bangunan atau tempat yang paling terserlah dalam filem Jengka ini adalah kawasan ladang kelapa sawit itu yang mana eksiden-eksiden yang di kawasan yang menimbulkan unsur-unsur keseraman yang membuatkan penonton ternanti-nanti. Dikawasan ladang kelapa sawit ini yang menghidupkan cerita serta ditambah dengan pula dengan selingan rakaman sebenar yang menaikan lagi unur keseraman dalam filem ini. Kalau diteliti dengan jelas unsur yang bangunan yang terdapat dalam filem Jengka ini tidaklah begitu banyak dan ianya sangat ringkas akan tetapi acuan yang tersendiri yang cuba ditonjolkan oleh pengarah muda ini. Tidak seperti filem seram yang lain yang menfokuskan kepada unsur bangunan yang mempengaruhi unsur sesuatu tempat untuk membolehkan unsur keseraman diserlahkan bagi Jengka ianya sudah mencukupi untuk menjadikan filem ini menjadi filem seram.

6.      UNSUR KEKAGUMAN

Dalam filem Jengka ini banyak perkara yang boleh dikaitkan dengan unsur kekaguman antaranya handycan. Filem Jengka ini memang membuktikan kejadian yang betul betul berlaku kerana penonton dapat melihatnya dari segi keadaan yang realiti. Dengan adanya kamera handykan ini, ia lebih menarik daripada filem seram yang biasa kerana ia dapat dilihat agak lebih menakutkan dan membuatkan penonton tertanya-tanya. Oleh itu, filem Jengka ini membuatkan penonton boleh melihat kerana found footage yang sangat menarik dan memberi penonton melihat dengan lebih baik. Apa yang menariknya, filem yang mengambil konsep found footage dan inspirasi yang kelihatan sama seperti kisah seram terkenal seperti Paranormal Acitivity ini boleh dikatakan tidak menghampakan dan boleh diklasifikasikan sebagai satu percubaan yang baik. Meskipun dilihat biasa-biasa sahaja, tetapi pujian harus diberikan kepada semua tenaga produksi kerana mampu mengeluarkan idea yang cukup berbeza daripada kisah seram yang klise.
Seterusnya, dalam filem ini unsur kekaguman yang dapat dilihat melalui kawasan ladang kelapa sawit yang dilakonkan. Filem ini memang sesuai dilakonkan kerana strategi kawasan yang terbuka dan keadaan kawasan yang luas. Sebagai contoh, kejadian yang berlaku itu dalah di kawasan ladang kelapa sawit yang mana kekaguman seram terserlah di kawasan itu yang membuatkan penonton ternanti-nanti untuk menontonnya.
Selain itu, teknik imej janaan komputer (CGI) yang ada dalam filem ini juga kelihatan sangat menjadi dan mampu memberikan penonton yang menyaksikan tayang perdana filem tersebut baur-baru ini tidak senang duduk. Ditambah dengan penggunaan rakaman secara found footage atau lebih tepat lagi penggunaan kamera tangan dilihat berupaya membawa penonton melekat di kerusi pawagam hingga penghujung cerita. Ia berjaya memberikan gambaran sebenar apa yang terjadi dan diakui dengan bantuan kesan bunyi menguatkan lagi kisah seram ini wajib ditonton         

DOMINASI WATAK

Watak yang kelihatan mendominasi cerita ini adalah Basir. Hal ini kerana, Basir merupakan seorang yang penyayang kepada isterinya, Nini. Namun, pada masa yang sama dia juga telah berlaku curang tanpa pengetahuan isterinya. Dia boleh mendominasi watak sebegini kerana mempunyai sudut watak pipih, watak bulat dan berubah-ubah pada satu masa dalam filem ini. Sebagai contoh, ketika dalam banglo rumahnya di bandar, dia berkelakuan baik dan sempurna di mata isterinya. Apabila di belakang isterinya, dia menjalin hubungan sulit dengan seorang perempuan lain yang bernama Miera sehingga Miera telah bunting hasil dari hubungan mereka itu.
            Sewaktu di kampung halaman Nini pula, dia berubah sikap menjadi berang apabila mendapat tahu Nini telah lari ke dalam ladang kelapa sawit berdekatan rumahnya. Dia juga tidak percaya akan hal yang karut dan kewujudan hantu di kampung itu. Hal ini dapat dibuktikan apabila dia mencabar penunggu ladang tersebut supaya keluar bersemuka dengannya kerana begitu marah akan penunggu tersebut yang mencuri anaknya serta merasuk isterinya. Hal ini membuat watak Basir mendominasi jalan cerita filem ini yang dalam baiknya, ada perilaku buruknya juga.

7.      SECARA KESELURUHAN

Kesimpulannya, filem Jengka ini adalah satu filem yang dianggap filem yang menyeramkan yang mana ianya difilemkan berdasarkan kisah yang benar berlaku. Oleh hal yang demikian, filem ini berada dalam kelas yang tersendiri yang membuatkan penonton ternanti-nanti disetiap  bahagian dan sudut insiden yang berlaku. Pembikinan filem Jengka ini  ini adalah berlatarkan paranormal yang mana kejadian terjadi ini adalah satu kisah benar yang berani difilemkan dan ini adalah satu percubaan yang baik bagi membolehkan filem berunsurkan paranormal ini terus berkembang dalm industri filem tempatan di negara kita ini. Secara keseluruhan apa yang dapat disimpulkan adalah filem Jengka berjaya menonjolkan unsur keseraman dalam filem ini yang mana antara perkara yang berjaya ditafsirkan menjadi sebuah filem seram yang berkualiti.


No comments:

Post a Comment

  ANALISIS FILEM DAN POSTER (JENGKA)        SINOPSIS FILEM JENGKA Filem ini berkonsepkan ‘paranormal’ menceritakan Nini...